Ada benda dalam hidup ni tak boleh dipaksa. Kena tunggu. Kena sabar. Kena tahan telinga bila orang bahan.
Begitulah hidup sebagai penyokong Arsenal.
Akhirnya selepas 22 tahun arsenal menjuarai Premier League, rasa dia lain macam. Bukan sekadar seronok sebab menang piala, tapi sebab perjalanan ini panjang. Terlalu banyak musim yang dilalui dengan harapan tinggi, kemudian kecewa di hujung jalan.
Tapi kali ini, cerita itu berubah.
Arsenal berjaya juga sampai ke garisan penamat sebagai juara. Bukan lagi botol
Sebagai penyokong, kita tahu rasa dia. Kita pernah percaya walaupun orang gelak. Kita pernah yakin walaupun pasukan nampak belum cukup kuat. Kita pernah ulang ayat โtrust the processโ sambil dalam hati sendiri pun kadang-kadang tak berapa trust hahaha…
Tapi itulah bola sepak. Kadang-kadang yang paling manis bukan kemenangan yang datang cepat, tetapi kemenangan yang datang selepas lama ditunggu.
Aku masih ingat kali terakhir Arsenal menang liga musim 2001/2002. Waktu itu, hidup pun ada drama sendiri. Baru lepas direject oleh gadis impian. Malam bulan dipagar bintang….Memang masa tu dunia rasa macam runtuh sikit. Tapi time tuh Arsenal pula bagi sebab untuk senyum.
Lucu bila fikir balik. Hati tengah kecewa, tapi kelab bola pula jadi penyelamat emosi. Gadis impian tak jadi milik kita, tapi sekurang-kurangnya Arsenal jadi juara. Itu pun kira okaylah. Dalam hidup, tak semua benda kita dapat. Tapi kalau Arsenal menang liga, luka pun rasa kurang pedih.
Dan sekarang, selepas bertahun-tahun, perasaan itu datang balik.
Bezanya, kita sekarang mungkin sudah lebih berusia. Dulu tengok Arsenal dengan hati muda, rambut gaya overmars pikir cik salmah ja hahahaha… sekarang tengok Arsenal sambil fikir bil elektrik, kerja, anak, komitmen dan sakit pinggang. Tapi bila bola masuk, bila wisel penamat dibunyikan, rasa itu tetap sama.
Kita masih penyokong yang sama.
Dalam kejayaan kali ini, aku rasa nama Declan Rice memang wajib disebut. Bagi aku, dia antara kunci utama Arsenal musim ini. Kehadirannya bukan sekadar menambah kekuatan di tengah padang, tetapi membuatkan pasukan nampak lebih stabil.
Banyak perlawanan dikawal dengan lebih tenang kerana adanya Rice. Bila lawan cuba menyerang, ruang banyak ditutup. Bila Arsenal perlukan tenaga, dia muncul. Bila pasukan perlukan pemain yang boleh bawa karakter, dia ada. Ini betul betul engine.
Rating dia musim ini memang sangat superb. Bukan sebab dia sentiasa buat benda yang nampak fancy, tapi sebab kerja-kerja penting banyak diselesaikan dengan kemas. Kadang-kadang pemain macam inilah yang buat pasukan jadi juara. Tak semestinya paling bising, tapi sangat penting.
Kejayaan ini juga membuktikan bahawa proses yang dibina selama ini bukan sekadar cakap kosong. Banyak benda telah diperbaiki. Pasukan dibentuk dengan lebih matang. Mentaliti diperkuatkan. Keyakinan dikembalikan.
Dan sebagai penyokong, kita juga sebahagian daripada proses itu.
Kita pernah melalui zaman susah. Kita pernah kena bahan. Kita pernah tengok pasukan kalah dengan cara yang menyakitkan. Kita pernah kecewa, marah, diam sekejap, kemudian minggu depan tengok juga.
Sebab itulah bila Arsenal juara, rasa dia lebih dalam.
Ini bukan kemenangan untuk peminat yang datang masa senang sahaja. Ini kemenangan untuk semua yang kekal menyokong walaupun banyak musim hanya mampu berharap.
Sekarang, mata kita pula ke Champions League minggu depan. Kalau sudah Premier League berjaya dimenangi, tak salah untuk kita terus berharap. Moga-moga Arsenal dapat tambah satu lagi kejayaan dan menjadi juara Eropah pula.
Tak perlu terlalu mendabik dada. Tapi sesekali, bolehlah senyum lebih sikit.
Kepada semua penyokong Arsenal, tahniah.
Kesabaran kita akhirnya dibayar.
Kepada yang pernah bahan, tak apa. Kita maafkan.
Tapi screenshot mungkin masih disimpan.