Isu UEC bukan sekadar isu sijil. Ia adalah cerminan kepada kegagalan kita membina satu kerangka pendidikan kebangsaan yang benar-benar menjadi asas pembinaan negara bangsa.
Apabila satu demi satu laluan khas dibuka atas nama pengantarabangsaan, keterbukaan dan fleksibiliti, persoalan yang lebih besar perlu ditanya: sampai bila Malaysia mahu bergerak dengan sistem pendidikan yang berpecah-pecah?
Kita bercakap tentang perpaduan. Kita bercakap tentang identiti nasional. Kita bercakap tentang masa depan bersama. Tetapi dalam masa yang sama, dasar pendidikan kita terus membenarkan rakyat dibentuk dalam “pot” masing-masing.
Akhirnya, kita bukan sedang membina wajah Malaysia yang satu. Kita hanya sedang mengurus kompromi politik demi memastikan kuasa terus stabil.
Lebih menyedihkan, setiap kali isu besar seperti ini timbul, ia akan dibungkus dengan bahasa yang cantik: pengantarabangsaan, kesetaraan, merit, peluang dan keterangkuman. Tetapi di sebalik semua istilah itu, persoalan asas masih gagal dijawab….apa standard kebangsaan kita sendiri?
Kalau SPM, STPM dan sistem pendidikan arus perdana masih menjadi asas negara, maka kerajaan sepatutnya memperkukuh sistem itu, bukan membuka terlalu banyak pengecualian sehingga rakyat semakin keliru tentang hala tuju pendidikan negara.
Kita tidak boleh terus berpura-pura membina perpaduan, sedangkan sistem yang membentuk generasi muda bergerak dalam aliran yang berbeza-beza.
Bagi saya, isu ini membuktikan satu perkara: kegagalan terbesar kerajaan bukan sekadar pada pengiktirafan UEC, tetapi pada kegagalan membina keyakinan bahawa Malaysia mempunyai satu dasar pendidikan kebangsaan yang jelas, tegas dan dihormati semua.
Negara bangsa tidak boleh dibina dengan dasar yang carca-marba.
Negara bangsa tidak boleh dibina dengan keputusan yang terlalu tunduk kepada perkiraan politik.
Dan masa depan Malaysia tidak boleh terus dijadikan bahan rundingan demi kelangsungan kuasa.
Kita perlukan keberanian untuk membina satu standard nasional yang adil, kuat dan dihormati
Bukan sekadar mencari jalan untuk memuaskan semua pihak, tetapi akhirnya melemahkan identiti negara itu sendiri.
Kecewa, kerana kita sepatutnya sedang membina Malaysia. Bukan sekadar mengurus kepentingan politik.