Jawatankuasa Fatwa Perlis putuskan pembinaan tugu 1Malaysia ditegah agama

Sedikit terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan. Tapi mereka ada hujah yang tersendiri, sebagaimana fatwa perak yang mengatakan poco-poco yang ditegah. Namun hujah mereka mengenai pembaziran itu ada benarnya,

KANGAR: Jawatankuasa Fatwa Perlis memutuskan pembinaan replika tugu 1Malaysia sebagai suatu yang ditegah kerana amalan itu dikesan mengandungi unsur penghormatan yang dikhuatiri menjurus kepada pemujaan ‘al-Ansab’ atau berhala.

Keputusan tegahan itu yang dibuat berdasarkan kepada petikan ayat 90 surah al-Maidah, dibangkitkan jawatankuasa berkenaan kepada Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) sebelum ia diperakukan dalam satu mesyuarat yang bersidang pada 19 April lalu.
Ayat 90 surah al-Maidah bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi dan al-Ansab (menyembah berhala) dan al-Azlam (bertenung nasib) adalah najis daripada amalan syaitan. Maka hendaklah kamu jauhkan daripadanya moga-moga kamu berjaya”.
Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya ketika diminta mengulas berkata, Jawatankuasa Fatwa Perlis turut mengambil kira kaedah Sadd al-Zara’i dalam menentukan tegahan terhadap pembinaan tugu 1Malaysia itu.

“Kaedah itu bermaksud menutup pintu kemudaratan dengan tujuan untuk memelihara kemurniaan akidah. Dalam kes ini, ia diaplikasi sebagaimana larangan dibuat Nabi Muhammad terhadap para sahabat yang ingin menjadikan pokok Zat Anwath sebagai tempat berkumpul.

“Selain itu, kewajaran tegahan pembinaan tugu berkenaan juga turut dilihat Jawatankuasa Fatwa Perlis dari sudut pembaziran yang sama sekali diharamkan oleh Islam,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Ditanya sama ada larangan berkenaan dibuat berikutan cadangan pembinaan tugu 1Malaysia di negara ini termasuk di Perlis Juanda berkata, itu bukan motif utama keputusan terbabit dibuat.
“Tegahan dibuat Jawatankuasa Fatwa Perlis adalah berunsur nasihat dan bukannya satu fatwa, dengan motif untuk mengelak daripada kesucian dan keharmonian agama tercemar. Justeru, terpulang kepada pihak terbabit untuk menilainya.

“Apa yang diputuskan sehingga kini hanya berkisar kepada pelaksanaan di Perlis. Namun, terpulang jika ada mana-mana pihak termasuk jawatankuasa fatwa di negeri lain yang melihat kewajaran dalam tegahan itu untuk dilaksanakan di tempat lain,” katanya.

Sumber Berita Harian Online